Sekolah
Melayu Chemor mula dibuka pada 1.06.1905. Sekolah ini pada mulanya
adalah sebuah bangunan kecil yang letaknya berhampiran dengan Masjid Jamek
Chemor. Kemudian bangunan ini dipindahkan di hadapan Balai Polis
Chemor. Pada mulanya bangunan ini bertiang simen dan berdindingkan
tepas. Selepas itu barulah digantikan dengan dinding papan.
Berhampiran bangunan ini didirikan sebuah rumah guru. Dalam tahun 1940,
cawangan sekolah ini telah didirikan di seberang jalan lebih kurang sepuluh
rantai jaraknya dengan bangunan lama. Dua buah rumah guru turut didirikan
berhampiran bangunan ini. Pihak tentera Jepun telah mengambil alih pertadbiran
sekolah ini di awal pemerintahannya. Beberapa orang tentera Jepun
berserta dua orang guru tempatan telah mengajar di sekolah ini. Semasa Jepun
menyerah kalah kepada kerajaan British dalam tahun 1945, pihak komunis telah
menyerang Balai Polis Chemor. Bangunan cawangan sekolah ini telah
dijadikan tempat berlindung pihak komunis. Akibat beberapa butir peluru tembakan
mata-mata Jepun dari Balai Polis Chemor telah menembusi dinding bangunan
sekolah ini. Dalam masa peralihan pemerintahan Jepun dengan kerajaan British
selama empat belas hari, askar komunis 'Bintang Tiga' telah berjaya
memerintah Tanah Melayu. Sekolah Melayu Chemor ini telah dijadikan tempat
tinggal (berek) askar-askar komunis. Pada tahun 1957, nama sekolah ini telah
ditukarkan kepada Sekolah Umum. Tidak lama selepas itu sekolah ini
dikenali pula sebagai Sekolah Kebangsaan Chemor. Dalam tahun 1975, sekolah cawangan
ini telah dirobohkan dan diganti dengan sebuah bangunan dua tingkat yang
mengandungi lapan buah bilik darjah, pejabat Guru Besar, kantin dan dua buah
bilik stor. Bangunan baru ini mula digunakan pada 1.1.1976.
Menjelang 1977, sekolah ini telah bertukar nama sekali lagi iaitu dengan nama
Sekolah Kebangsaan Haji Mahmud Chemor sehinggalah ke hari ini. Nama
sekolah ini diambil sempena mengenangkan seorang tokoh masyarakat tempatan yang
banyak jasanya iaitu Allahyarham Haji Mahmud b. Sheikh Abdul Majid. - See more
at:
http://kampungcikzainal.blogspot.my/2009/12/sekolah-chemor.html#sthash.8OpWe2i1.dpuf
No comments:
Post a Comment